11 Juta Penonton Kelesah Kekasih Paksa Rela Habis?

Slot Akasia sekali lagi menambat hati 11 juta penonton dengan Drama Kekasih Paksa Rela yang telah melabuhkan tirainya pada Isnin lalu, 12 Februari. Membawa cogan kata “Terpaksa mencintai, Terlanjur Menyayangi”, drama bukan adaptasi novel terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Remy Ishak, Intan Najuwa, Ain Edruce, Afzan Rahman, Dayang Areeda, Nynaa Harizal, Jalaludin Hassan, Emelda Rosemila, Fizz Fairuz, Aman Graseka, Khaty Azian, Hazman Al-idrus, Azhar Amir dan Fatin Afeefa.

Poster Kekasih Paksa Rela 11 Juta

Drama Kekasih Paksa Rela yang diarahkan oleh Idora Abdul Rahman ini telah bersiaran selama 28 epsiod sejak 26 Disember 2017 dan telah mencipta fenomena tersendiri apabila sekali lagi menjadi ‘kegilaan’ penonton setia slot Akasia setiap kali ke udara. Rating terkumpul untuk semua episod Kekasih Paksa Rela ini berjumlah 11 juta penonton dan episod akhir yang bersiaran pada 12 Februari 2018 dari pukul 7.00 malam sehingga 8.00 malam telah mencecah 3.8 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement).

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, “Kami bersyukur kerana drama kami terus mendapat sokongan padu daripada peminat-peminat slot Akasia melalui Drama Kekasih Paksa Rela ini. Sekali lagi, slot Akasia dapat mempertahankan rekodnya sebagai slot drama yang ditonton ramai. Bukan sahaja itu, tandapagar #kekasihpaksarela juga telah digunakan sepanjang waktu bersiaran sehinggakan ia menjadi sohor kini hampir setiap episod, di alam maya. Oleh itu, seruan saya kepada masyarakat adalah untuk terus menyokong karya-karya hebat tempatan, terutamanya dengan menonton drama terbaharu di slot Akasia iaitu Tiada Arah Jodoh Kita.”

Drama Kekasih Paksa Rela ini berkisarkan Adham (Remy Ishak) & Rosnaida (Ain Edruce) yang bernikah selepas tamat belajar tanpa persetujuan Dato’ Azman, iaitu ayah Adham. Adham cuba merapatkan hubungan Rosnaida dan ayahnya, tetapi Rosnaida tetap berkeras kepala. Akhirnya, Rosnaida membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di US akibat tidak tahan dengan sikap mertuanya. Hanan (Intan Najuwa) pula yang masih sekolah terpaksa menjaga ayahnya yang sedang sakit. Apabila Rosnaida enggan pulang ke tanah air. Adham mengambil Hanan sebagai pekerjanya, dan menjaganya dengan baik. Demi mengelak daripada segala fitnah, Hanan terpaksa bernikah dengan Adham dan berusaha untuk memenangi hati Adham kerana ingin membalas jasa baiknya itu. Setelah sekian lama mereka berumah tangga, Rosnaida pulang ke Malaysia secara tiba-tiba dan mengetahui rahsia Adham dan Hanan. Hubungan mereka bertiga menjadi semakin renggang apabila konflik-konflik perhubungan mula timbul satu persatu. Akhirnya, Rosnaida mengalah dan menuntut cerai daripada Adham, meninggalkan Adham bahagia bersama Hanan.

Adakah anda masih belum dapat move on daripada kisah cinta Adham, Rosnaida dan Hanan? Saksikan Kekasih Paksa Rela di portal video tonton, www.tonton.com.my Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my. Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan juga Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

KPR 29

KPR 23

KPR 12

KPR 9

KPR 4

KPR 3

Komen via Facebook

Komen

Fakta Yang Korang Tak Tahu Tentang Drama TIADA ARAH JODOH KITA

Novel-novel cinta tempatan sering menjadi buah mulut peminat-peminat kisah cinta di Malaysia. Kini satu lagi drama adaptasi novel cinta telah ditayangkan di TV3. Tiada Arah Jodoh Kita, novel cinta hasil nukilan Ezza Mysara ini mempunyai pengikutnya tersendiri. Bagi adaptasi kepada drama, Syed Mohamad Taufik Syed Abd Jalil sebagai penulis skrip berjaya mengolah serta menggarap emosi keseluruhan cerita dengan baik.

Drama TIADA ARAH JODOH KITA

“IZINKAN AKU SELAMI JIWAMU” – SHUKRI YAHAYA

Berkonsepkan kekeluargaan dan percintaan, Tiada Arah Jodoh Kita merupakan drama terbaharu terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd menerusi Slot Akasia TV3. Bersiaran pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam bermula 13 Februari 2018, drama bersiri ini akan membuka mata penonton tentang kisah percintaan dan konflik kehidupan yang luar dari kebiasaan. Lebih menarik, bermula 2 Mac 2018, Slot Akasia akan ditayangkan selama lima hari seminggu bermula Isnin hingga Jumaat.

Barisan pelakon hebat dan berpengalaman juga turut membuatkan drama ini ditunggu-tunggu. Antaranya adalah Shukri Yahaya, Aprena Manrose, Hafeez Mikail, Erwin Dawson, Dian P. Ramlee, Mustaqim Bahadon, Azar Azmi, Livonia Ricky, Aleza Shadan, Azhar Amir, dan Farisha Irwayu.

Tiada Arah Jodoh Kita mengisahkan percintaan Afia Awliya atau Pia (Aprena Manrose) dalam mencapai kebahagiaan dalam kehidupan. Fayyad Syakir telah melamar Pia bagi pihak Megat Wakeel. Pada masa yang sama, abang kepada Wakeel, Megat Aathif (Shukri Yahaya) yang turut mengejar cinta Pia menghalang cadangan Wakeel untuk mengahwini Pia.

Pia mengambil keputusan untuk mengahwini dan menjaga Wakeel yang menghidap kanser buah pinggang. Sejak itu, Bermulalah kehidupannya berhadapan dengan Aathif yang tidak dapat menerima Pia sebagai adik iparnya. Namun, ketelusan yang ditonjolkan Pia berjaya membuktikan mereka bahagia.

Pemergian Wakeel menyebabkan Pia mengalami kemurungan. Dia kini berhadapan dengan Fayyad yang kembali menagih cintanya. Manakala Aathif memutuskan untuk mengahwini Pia demi menjaganya.

Ke manakah arah jodoh Pia? Sama-sama kita nantikan Tiada Arah Jodoh Kita dalam slot Akasia gandingan Shukri Yahaya, Aprena Manrose, Hafeez Mikail dan Erwin Dawson pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7.00 malam hanya di TV3!

Drama bersiri ini juga dapat disaksikan di portal video www.tonton.com.my melalui langganan pakej tonton VIP. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia dan juga Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat

Drama TIADA ARAH JODOH KITA

Drama TIADA ARAH JODOH KITA

Drama TIADA ARAH JODOH KITA

Drama TIADA ARAH JODOH KITA

Drama TIADA ARAH JODOH KITA

Komen via Facebook

Komen

Yang Anda Perlu Tahu Tentang JANJI ZEHAN

‘Janji Zehan’ merupakan naskhah terbaharu arahan sutradara hebat, Bernard Chauly dan Zabrina Fernandez, yang bakal bersiaran di Astro First Eksklusif Saluran 480 dan platform digital ‘on demand’ mulai 14 Februari (Rabu) ini.

Mengisahkan tentang percintaan dua individu yang baru berkahwin dan berbeza latar belakang, bahasa serta budaya, ‘Janji Zehan’ turut mengangkat keindahan panaroma negara Timur Tengah; Iran, dan keunikan budaya masyarakatnya yang masih mengekalkan tradisi lama dalam kehidupan moden hari ini.

Bernard Chauly (Pengarah), Zabrina Fernandez (Pengarah), Nur Fazura bergambar dengan wakil dari Kedutaan Besar Iran di Malaysia

Keseluruhan sesi penggambaran filem televisyen (FTV) ini telah dijalankan di negara tersebut dan mendapat sokongan dari Kementerian Pelancongan Negara Iran dan Kedutaan Besar Republik Iran di Malaysia. Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia turut hadir sebagai rakan penaja untuk penerbitan ini.

Gandingan trio hebat di belakang Janji Zehan

INFO PENTING BERKENAAN ‘JANJI ZEHAN’

1. Dengan tajuk asal dalam bahasa Iran, ‘Lahzeye Bi Payan’ yang bermaksud “Dalam Satu Detik Masa Yang Tiada Pengakhirannya”, ‘Janji Jehan’ sekali lagi menampilkan gabungan hebat di antara Nur Fazura dan Bernard Chauly. Kerjasama terakhir mereka adalah untuk filem ‘Manisnya Cinta di Cappadocia’ terbitan Astro Shaw pada tahun 2014.

2. Menerusi kolaborasi tersebut juga, Fazura dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 (2015). Selain dari ‘Manisnya Cinta di Cappadocia’, Bernard pernah bekerjasama dengan Nur Fazura dalam karya-karya hebat beliau seperti ‘Gol & Gincu’ (2005), ‘Pisau Cukur’ (2009) dan ‘Istanbul Aku Datang’ (2012).

3. Selain Bernard, turut menduduki kerusi Pengarah adalah Zabrina Fernandez dan ini merupakan filem pertama arahan beliau. Zabrina sebelum ini lebih aktif dengan tugasan di belakang tabir sebagai Penerbit Kreatif dan Pengarah untuk program-program realiti dan gaya hidup (lifestyle) tempatan dan antarabangsa.

4. Dalam FTV ini, kedua-dua Zabrina dan Bernard yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam industri seni banyak mengangkat elemen kebudayaan, keindahan tapak-tapak warisan bersejarah di sekitar Iran dan keunikan makanan tradisi masyarakat Timur Tengah ini.

5. ‘Janji Zehan’ yang berdurasi 90 minit ini bergenre drama dan romantik, serta menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.

6. ‘Janji Zehan’ merupakan kerjasama Astro First Eksklusif bersama Wildsnapper TV Sdn. Bhd. Produksi ini pernah terlibat dalam penerbitan program-program realiti berskala besar dan bertaraf antarabangsa seperti ‘The Apprentice Asia S1’, ‘Supermodel Me S5’, ‘Asia’s Got Talent’, ‘The Amazing Race S4 & S5’, ‘Fear Factor Malaysia S2’ dan banyak lagi. ‘Janji Zehan’ merupakan percubaan pertama Wild Snapper TV dalam menerbitkan sebuah filem televisyen.

7. ‘Janji Zehan’ turut merupakan kolaborasi pertama di peringkat antarabangsa buat pelakon kelahiran Iran, Amir Rezazadeh, 35 tahun. Selain terlibat dengan lakonan, Amir yang turut aktif sebagai seorang model pernah menghiasi pentas peragaan utama di sekitar negara Timur Tengah dan India.

8. Selain dibintangi Nur Fazura (Jehan) dan Amir Rezazadeh (Arman), pelakon hebat Bront Palarae turut membuat penampilan khas dalam FTV ini sebagai abang kepada Nur Fazura yang bernama Faizal.

9. Salah sebuah lagu Nur Fazura dari album terbaharunya, ‘Fazura’, yang bertajuk ‘Cinta Langka’ turut digunakan sebagai lagu latar untuk FTV ‘Janji Zehan’. Lagu tersebut merupakan dendangan duet di antara Nur Fazura dan Ariadinata dari kumpulan popular Indonesia, Samsons, dan diterbitkan oleh Universal Music Sdn. Bhd. pada bulan November tahun lalu.

10. Selain dari jalan penceritaan yang menarik, ‘Janji Zehan’ turut mengangkat keindahan lokasi-lokasi istimewa dan bersejarah di sekitar negara Iran seperti di Shiraz dan Yazd yang cukup mempesonakan.

Janji Zehan menampilkan Zabrina Fernandez sebagai Pengarah yang bekerjasama dengan Bernard Chauly

Di antara lokasi penggambaran utama termasuklah:

➢ Nasir Ol Molk Mosque, Shiraz
Dibina pada tahun 1888 ketika era Qajar dan lebih dikenali sebagai ‘Pink Mosque’.
➢ Kota Persepolis
Lokasi bersejarah yang turut dikenali sebagai ‘Takht-e-Jamshid’ dan terletak kira-kira 60km di utara dari bandar Shiraz
➢ Hafeziye, Shiraz
Dibina seawal abad ke-14 bagi mengingati penyair tersohor Parsi bernama Hafez
➢ The ‘Old City of Yazd’
Salah satu bandar tertua di dunia
➢ The ‘Cypress Tree of Abarkuh’
Dipercayai sebagai pokok tertua di dunia dan dianggarkan berumur lebih dari 4,000 tahun

11. Keseluruhan penggambaran ‘Janji Zehan’ telah diadakan di 43 lokasi utama di sekitar Iran terutamanya di Shiraz dan Yardz, serta mengambil masa selama 12 hari untuk diselesaikan.

Janji Zehan mendapat sokongan sepenuhnya dari Kedutaan Iran di Malaysia. Hadir bersama adalah Duta Besar Iran - Madam Marzieh Afkham

Joanna Lee (Penerbit Eksekutif), Zabrina Fernandez (Pengarah), Nur Fazura (Zehan), Bernard Chauly (Pengarah), Sharmin Parameswaran (Ketua Astro First dan Astro Best)

PETIKAN KENYATAAN

Sharmin Parameswaran, Ketua Saluran Astro First Eksklusif & Astro Best:

Sekalung penghargaan diucapkan kepada Kedutaan Besar Republik Iran di Malaysia yang telah memberikan sokongan padu dalam menzahirkan projek ini sejak dari hari pertama lagi. Kerjasama baik anda amat kami hargai.

Pada masa yang sama, produksi yang bertanggungjawab di sebalik ‘Janji Zehan’ ini iaitu Wildsnapper TV Sdn. Bhd. telah berjaya menzahirkan sebuah karya yang begitu indah. Gandingan sulung kedua-dua pelakon utama, Nur Fazura dan Amir Rezazadeh, telah mencetuskan sebuah kisah cinta dua benua yang cukup mengasyikkan dan penuh dengan keunikan, terutamanya di sebalik perbezaan budaya, latar belakang dan bahasa pertuturan. ‘Janji Zehan’ merupakan filem televisyen pertama terbitan produksi ini dan kami lihat, Wildsnapper telah berjaya membuktikan kemampuan mereka. Kami turut merasakan bahawa gabungan Bernard Chauly dan Zabrina Fernandez di sebalik lensa kamera sebagai Pengarah ternyata berkesan. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat.”

Duta Besar Iran - Madam Marzieh Afkham dan wakil dari Kedutaan Besar Iran di Malaysia turut hadir memberi sokongan

Bernard Chauly, Pengarah ‘Janji Zehan’:

Ketika di Iran, Fazura ada memaklumkan kepada saya yang beliau bakal berkahwin, justeru sesi penggambaran kami dilihat lebih bermakna kerana saya dan Fazura kerap kali berbincang mengenai fasa baru alam perkahwinan yang bakal beliau tempuhi, harapan dan keinginannya. Kebetulan, ketika berlangsungnya penggambaran, Fazura sedang dilamun cinta bersama suaminya kini, Fattah Amin. Saya doakan hubungan mereka dilimpahi kebahagiaan.

‘Janji Zehan’ atau judul asalnya ‘Lahzeye Bi Payan’ merupakan sebuah kolaborasi yang cukup bermakna di antara Malaysia dan Iran. Iran merupakan sebuah negara yang cukup indah dan rakyatnya pula sangat peramah. Anda pasti jatuh cinta di saat menjejakkan kaki di buminya. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kedutaan Besar Republik Iran di Malaysia dan Kementerian Pelancongan Iran di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan naskhah ini.

Saya turut berbesar hati di atas kepercayaan dan sokongan dari pihak produksi, Wildsnapper TV dan Astro First Eksklusif. Dalam pada itu, menerusi FTV ini juga saya berpeluang bekerja dengan lebih rapat lagi dengan pengarah bersama saya, Zabrina Fernandez, dan Joanna Lee dan Zena Choo yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.

Akhir kata, saya berharap anda semua akan terhibur dengan ‘Janji Zehan’. Filem ini adalah filem untuk semua, tanpa mengira bangsa dan latar belakang. Jangan lupa, 14 Februari ini di saluran Astro First Eksklusif.

Print

Zabrina Fernandez, Pengarah ‘Janji Zehan’:

Dalam pada itu, saya amat berpuas hati dengan persembahan setiap pelakon ‘Janji Zehan’. Masing-masing berjaya menjiwai watak dengan baik. Watak yang digalas Nur Fazura sebagai Zehan pula sangat dekat dengan hati saya dan beliau berjaya menyampaikannya dengan cemerlang. Dedikasi yang ditunjukkan Nur Fazura dan Amir membuatkan saya cukup berpuas hati dengan hasil akhir FTV ini.

Kami berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh semua pihak sama ada di Malaysia dan di Iran dalam menjayakan naskhah ini. Kerajaan Iran, Astro dan penerbit bersama kami, Dr. Hossein Nejad, masing-masing telah memberikan komitment dari awal sehingga berakhirnya penerbitan ‘Janji Zehan’. Perbezaan budaya adalah sesuatu yang perlu diraikan, sama seperti sebuah cinta yang tulus ikhlas. Ia menjadikan kita semua bersatu tanpa memandang perbezaan budaya, adat, bahasa, mahupun latar belakang. Cinta itu adalah unik dan tidak perlu dibatasi oleh apa-apa.”

Nur Fazura dan Bernard Chauly

BUTIRAN SIARAN

‘Janji Zehan’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 14 Februari 2018 (Rabu) ini. Dengan hanya RM 15.90 (termasuk 6% GST), penonton boleh menonton ‘Janji Zehan’ dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘Janji Zehan’ boleh turut didapati menerusi platform digital, ‘on demand’.

SINOPSIS ‘JANJI ZEHAN’

‘Janji Zehan’ mengisahkan tentang Zehan (lakonan Nur Fazura), seorang penerbit TV yang berjaya dan Arman (lakonan Amir Rezazadeh), seorang usahawan makanan berasal dari Iran, yang baru mendirikan rumahtangga dan kini dalam perjalanan menuju ke negara Timur Tengah itu untuk percutian bulan madu dan mencipta sebuah pengalaman romantis dalam fasa baru hidup mereka.

Namun begitu, pengalaman malam pertama mereka tidak seperti yang diharapkan. Kedua-dua mereka mula menyedari akan kekurangan masing-masing, dan disebabkan perkara-perkara kecil sahaja, Zehan dan Arman mula mempertikaikan sama ada keputusan untuk berkahwin di buat secara terburu-buru.

Keesokan harinya, Zehan dan Arman cuba berbaik semula, namun begitu kedua-duanya kelihatan tidak selesa dan kegembiraan yang diinginkan masih tidak menjelma. Arman kemudiannya membawa Zehan pulang ke kampungnya untuk diperkenalkan kepada nenek beliau. Walaupun kehadiran Zehan begitu dialu-alukan oleh nenek Arman, perbezaan budaya dan bahasa menyukarkan proses komunikasi mereka. Zehan kemudiannya cuba memenangi hati nenek Arman dengan menyediakan salah satu masakan tradisi istimewa negara Iran, ‘Ghormeh Sabzi’.

Ketika keadaan mula beransur pulih, panggilan telefon yang diterima Arman dari keluarga Zehan di Malaysia mencetuskan sedikit ketegangan. Arman sebelum ini dihubungi abang Zehan, Faizal (lakonan Bront Palarae) di mana beliau dimaklumkan bahawa ibu Zehan telah dimasukkan ke hospital. Khuatir Zehan akan risau dan terganggu ketika percutian bulan madu mereka yang masih berbaki dua hari lagi, Arman mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan perkara tersebut kepada Zehan. Lagipun, Faizal sebelum itu ada memberitahu Arman bahawa beliau akan menghubunginya lagi untuk memaklumkan keadaan ibu dari semasa ke semasa.

Namun begitu, pada hari terakhir percutian mereka, Arman membuka mulut dan memberitahu Zehan mengenai keadaan ibunya yang kini berada di hospital. Zehan marah, sedih dan dilihat mula hilang pertimbangan. Ibunya adalah segala-galanya untuk Zehan Seorang ibu tunggal yang sangat kental jiwanya dan pengorbanan beliau membesarkan Zehan dan Faizal bersendirian tidak mungkin boleh dibalas semula.

Bagaimana pula dengan Arman? Beliau mencuba untuk memberikan kebahagiaan hakiki kepada Zehan. Sebuah destinasi cinta yang tidak terkata keindahannya. Mahukah Zehan memaafkan Arman? Saksikan pengakhirannya dalam ‘Janji Zehan’, Februari ini.

Fattah Amin hadir menyokong Nur Fazura yang mendukung watak utama dalam 'Janji Zehan'

Komen via Facebook

Komen

Fakta Yang Anda Perlu Tahu Tentang Drama Siri DO[S]A

KOLABORASI MEGA MALAYSIA – INDONESIA MENERUSI DO[S]A, ‘AN ASTRO ORIGINAL SERIES’

Projek Siri Original Premium Nusantara Gandingkan Nama-Nama Hebat Di Hadapan & Belakang Tabir, Dengan Khidmat Pengarah Terbaik 2011 Indonesia

Buat julung kalinya, Astro tampilkan sebuah siri mini Nusantara premium eksklusif berjudul DO[S]A di platform digital, ‘on demand’ dan Astro GO, serentak dengan tayangan di televisyen menerusi Astro First saluran 480 dan di platform NJOI. DO[S]A merupakan naskhah Nusantara pertama di bawah slot ‘An Astro Original Series’ dan bakal bersiaran mulai 14 Februari ini. Dengan hanya RM 19.10 (termasuk 6% GST), penonton boleh menikmati kesemua lapan episod (berdurasi satu jam untuk setiap episod) dengan berulang kali dalam tempoh 10 hari dari waktu pembelian.

Barisan Pelakon dan Tenaga Produksi DOSA

• DO[S]A merupakan naskhah asal dua orang karyawan hebat, gandingan Malaysia dan Indonesia, saudara Saniboey Mohd Ismail dan Salman Aristo, yang turut bertindak sebagai Penulis Skrip. Salman, satu nama yang cukup disegani di Indonesia merupakan penulis skrip untuk karya-karya pecah panggung seperti ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Garuda di Dadaku’ dan ‘Sang Penari’. Pencapaian terkini Salman adalah di Festival Filem Indonesia 2016 yang mana beliau telah dinobatkan anugerah Penulis Lakon Layar Terbaik untuk filem ‘Athirah’. Turut sama terlibat sebagai penulis skrip untuk karya ini adalah saudara M Rino Sarjono.

• Istimewanya lagi, siri original ini turut mendapat sentuhan daripada Pengarah Terbaik Festival Filem Indonesia 2011 iaitu Ifa Isfansyah. Ifa Isfansyah yang merupakan seorang sutradara yang begitu disegani ramai di Indonesia, mula menempa nama menerusi pengarahan filem-filem hebat seperti ‘Sang Penari’, ‘Garuda Di Dadaku’ dan ‘Pendekar Tongkat Emas’.

• DO[S]A turut menggunakan khidmat Pengarah Fotografi terkenal, Yadi Sugandi yang sebelum ini telah melahirkan stail visual yang cukup memukau untuk karya-karya seperti ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Sang Penari’, ‘Darah Garuda’ dan banyak lagi.

• Selain itu, ia turut menampilkan Cecep Arif Rahman sebagai Pengarah Koreografi adegan aksi untuk melatih dan mempersiapkan para pelakon dengan disiplin silat dan koreografi seni mempertahankan diri. Cecep sebelum ini dikenali menerusi filem Indonesia ‘The Raid: Berandal’.

• DO[S]A juga dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan tiga buah negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi menggerakkan setiap watak dalam jalan cerita. Nama-nama yang terlibat adalah seperti Dato’ M.Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia, serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura.

• Siri original yang bergenre aksi ini berlatarkan lapan asas utama yang mendasari setiap episod; ‘Khianat’, ‘Tamak’, ‘Nafsu’, ‘Dengki’, ‘Derhaka’, ‘Fitnah’, ‘Munafik’ dan ‘Fitnah’. Kelapan-lapan ini memperkasakan slogan utama DO[S]A, “Niat Tidak Menghalalkan Cara”.

• DO[S]A sarat dengan babak-babak yang mendebarkan, aksi suspen dan ganas. Namun begitu, pada masa yang sama turut diapit dengan pergolakan emosi, pengorbanan, ikatan kekeluargaan serta bibit percintaan.

• Karya ini adalah kerjasama di antara Astro, Arie Zaharie Production dan Capitol Entertainment Production (produksi dari Indonesia).

• Sesi penggambaran telah berlangsung selama 58 hari, dari bulan Julai 2017 sehingga September 2017. Lokasi penggambaran rata-ratanya dilaksanakan di Jakarta Timur dan Jakarta Barat, Indonesia (dengan anggaran 90% jumlah penggambaran) dan selebihnya di Malaysia termasuklah di lokasi-lokasi utama sekitar Kuala Lumpur, Kampung Baru, Klang and Putrajaya.

• DO[S]A juga dijangka akan menembusi pasaran Indonesia menerusi platform OTT (Over-The-Top); Tribe Indonesia dan di saluran Astro Citra dalam waktu terdekat ini.

PETIKAN KENYATAAN RASMI OLEH NAIB PRESIDEN BAHAGIAN PERNIAGAAN MELAYU ASTRO, DATO’ KHAIRUL ANWAR SALLEH

Sejujurnya, saya berasa cukup teruja dengan karya DO[S]A ini kerana ia merupakan kerjasama sulung Astro yang melibatkan Malaysia – Indonesia dalam melahirkan siri original Nusantara premium eksklusif istimewa untuk tontonan ramai. DO[S]A turut merupakan karya pertama Nusantara yang kami tampilkan dalam slot ‘An Astro Original Series’.

Sebelum ini, Astro telah memulakan beberapa projek bagi menembusi pasaran serantau seperti ‘3 A.M. Bangkok Ghost Stories’ dengan pihak penerbitan dari negara Thailand, naskhah seram bertajuk ‘Door’ dengan penerbitan Filipina, serta ‘Cinta Paling Agung’ dan ‘Polis Evo2’ dengan kerjasama republik Indonesia. Pada masa yang sama, filem-filem terbitan Astro seperti ‘The Journey’ turut menarik minat pemain industri dari negara luar untuk diadaptasikan bagi siaran di negara masing-masing. Ini secara tidak langsung memberi indikasi bahawa karya terbitan Astro diterima ramai, baik audiens dari dalam mahupun luar negara.

Melihat akan kejayaan yang berjaya dilakar menerusi kolaborasi-kolaborasi mega yang dilaksanakan ini, Astro akan terus melahirkan banyak lagi naskhah-naskhah hebat untuk tontonan semua. Akan datang, ‘Sembilan’, sebuah lagi siri original gandingan Malaysia – Indonesia dijangka bakal menemui peminat pada akhir tahun ini. Naskhah bergenre seram ini akan memulakan penggambaran pada bulan Mei 2018. Kami menyasarkan akan ada lebih banyak lagi kandungan dan projek seumpamanya bakal dihasilkan di masa-masa yang akan datang.

Dalam pada itu, saya begitu berpuas hati dengan hasil akhir yang dizahirkan barisan produksi DO[S]A. Jalan penceritaannya ternyata ‘luar dari kebiasaan’, cukup kompak dan ‘mind-blowing’. Ternyata, kerjasama dan keserasian yang tercetus di antara pemain utama di bahagian hadapan dan belakang tabir naskhah ini adalah sebuah kekuatan yang wajar diakui ramai. Bakat mereka ini terletak di kelasnya yang tersendiri dan saya yakin, gandingan sehebat ini mampu mencetuskan satu fenomena baru dalam landskap seni serumpun khususnya.

Dari segi penerbitan pula, saya lihat penggunaan efek khas dan aspek sinematografi yang dipersembahkan DO[S]A mampu memenangi hati peminat. Pada pendapat saya, pemilihan pelakon, kesan bunyi, pengarahan dan pengolahan cerita berjaya digaul dengan cukup sebati sekali. DO[S]A diasak dengan pelbagai babak aksi yang mendebarkan, pergelutan, drama, khianat dan dendam kesumat. Saya berharap agar karya DO[S]A ini mampu mencipta satu penanda aras baru dalam industri seni tempatan mahupun serantau. Semoga anda semua terhibur”.

SINOPSIS “DO[S]A”

DO[S]A mengisahkan tentang empat beradik dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Dato’ M. Nasir), dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat, dan disiplin persilatan. Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid), dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka dipelusuk paling sunyi Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu. Rungutan mereka, terutama daripada Fara yang semakin memberontak langsung tidak diendahkan oleh bapa mereka. Rutin harian yang memerlukan adik-beradik ini bertumbuk, bertendang dan berhayun parang sesama sendiri akhirnya turut mewujudkan ketegangan di antara mereka di luar gelanggang.

Perhubungan keluarga ini semakin bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama), yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa dengan Latif. Dalam usaha Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu dengan Latif, mereka menjadi semakin rapat. Menyedari akan hal ini, abang sulung Fara, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus bertemu dengan Arian. Fuad kemudian bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta. Menjanjikan bahawa Latif tidak mahu lagi ada kaitan dengan ‘orang-orang seperti Arian’.

Berang dengan tindakan Fuad, Fara bertindak mengekori Arian ke Jakarta, tanpa mengetahui bahaya yang menanti dirinya di situ. Sebaik sahaja Fara keluar daripada pintu ketibaan di lapangan terbang Jakarta, dia terus diculik, dihumban ke dalam van, lalu dikurung di dalam sebuah gudang.

Tidak mengetahui nasib adik mereka, Fuad, Farid dan Fahad dihantar Latif ke Jakarta untuk membawa adik mereka pulang. Di sana, ketiga-tiga beradik itu sering mendapati diri mereka diserang tanpa sebab yang pasti, sekaligus memaksa mereka untuk mempertahankan diri di dalam pertempuran-pertempuran yang ganas. Arian yang baru mendengar mengenai berita penculikan Fara turut berganding bahu membantu abang-abang Fara. Semakin lama mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami tentang asal usul keluarga mereka dan siapa bapa mereka yang sebenarnya. Sebelum mereka sedari, mereka terjerumus di tengah-tengah pergelutan kuasa di dalam dunia kongsi gelap Jakarta. Hanya mereka yang mampu menamatkan perang ini, walau sebesar mana pengorbanan yang diperlukan.

IKUTI BERITA TERKINI “DO[S]A” MENERUSI:

@dosaminiseries

www.facebook.com/astrodosa

#dosaminiseries

Komen via Facebook

Komen

Telemovie WIRA INSAN Lakonan Reen Rahim

Konflik antara persahabatan dan cinta tiga segi antara tiga sahabat karib diangkat sebagai jalan cerita telemovie bertajuk “Wira Insan” yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 3 Februari ini, pukul 3.05 petang menerusi saluran TV1.

Meskipun menggunakan platform plot cinta tiga segi namun telemovie arahan Marzunaidi Mat Noh ini mendorong kepada menyuntik semangat cintakan negara dan erti persahabatan lebih mulia berbanding mengejar cinta wanita semata.

wira insan

‘Erti Cinta Sebenar’ Dalam Telemovie Wira Insan Di TV1

Wira Insan menampilkan lakonan mantap Wan Raja, Ezany Nizariff, Reen Rahim, Zaliey Suhaili dan Nor Hanan menyorot perjalanan kisah watak utama iaitu Suri dan Wira, sangat meminati dunia ketenteraan manakala sahabat mereka Insan memasuki dunia tentera dengan harapan dapat memikat Suri.

Kisah tiga sahabat baik sejak di bangku persekolahan iaitu Wira, Insan dan Suri. Wira dan Suri menyambung pelajaran di UUM dan kedua-dua mereka memasuki pasukan askar PALAPES. Insan pula bekerja dengan syarikat ayahnya.

Insan menaruh hati pada Suri tetapi sebaliknya Suri memendam cinta pada Wira. Sikap Insan membuatkan Suri berbelah bagi antara hubungan persahabatan dan cinta. Insan memasuki pasukan askar WATANIAH bagi menambat hati Suri. Beliau cemburu dengan sikap Suri yang rapat dengan Wira.

Kemudian Suri dan Wira yang berkhidmat di Rejimen 513, ditugaskan pula ke pasukan WATANIAH tersebut sebagai Leftenan Muda dan menjadi ketua kepada platun Insan. Insan mula dingin dengan Wira apabila mengetahui yang Suri mencintai Wira. Wira pula dalam dilema antara untuk menerima cinta Suri atau berkorban terhadap Insan yang telah banyak membantunya selama ini.

Wira sanggup berundur dari terlibat dalam percintaan demi persahabatannya dengan Insan. Wira menganggap Suri seperti adik-beradiknya sendiri dan menolak cinta Suri. Begitu juga dengan Insan yang lebih mementingkan kecintaan kepada negara dari memilih Suri.

Suri kecewa dengan keputusan Wira dan cuba beralih kepada Insan, namun Insan juga mengutamakan nilai persahabatan berbanding percintaan. Wira berjaya dalam bidang ketenteraan, Insan pula menerajui syarikat milik ayahnya manakala Suri bertugas sebagai seorang guru.

antara babak dalam telemovie Wira Insan

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Komen via Facebook

Komen

TV2 Siar Siri Penyiasatan Jenayah Dalam LEGENDS

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan kisah penyiasatan dan jenayah dalam siri Inggeris bertajuk “Legends” yang mula menemui penonton pada 21 Januari lalu. Turut dibintangi pelakon Morris Chestnut, Ali Larter, Sean Bean dan Tina Majirino, ia bersiaran setiap Ahad, pukul 10.30 malam di TV2.

20 episod siri Inggeris arahan David Semel mengisahkan seorang agen FBI di Amerika Syarikat yang di tugaskan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes-kes jenayah. Beliau memasuki organisasi jenayah dengan menyamar sebagai orang lain. Beliau menggunakan pelbagai identiti mengikut situasi. Agen ini mempunyai satu kebolehan yang unik iaitu keupayaan untuk bertukar sepenuhnya kepada identiti penyamaran yang digunakan. Pertukaran ini merangkumi semua aspek watak iaitu cara pertuturan, tingkah laku, ciri peribadi, kelemahan dan sebagainya. Sambil menjalankan tugas-tugasnya agen ini juga mencari penyelesaian kepada misteri kebolehannya yang aneh itu.

Episod bermula dengan memperkenalkan watak utama seorang agen FBI, Martin Odum, yang mengambil identiti orang lain untuk menyusup, menyiasat dan merisik aktiviti kumpulan dan organisasi haram. Martin mempunyai kebolehan unik untuk mengambil identiti orang lain termasuk ciri-ciri peribadi dan kelakuan individu itu. Martin sendiri berasa bingung bagaimana beliau boleh bertindak begitu. Beliau sentiasa mencari kunci rahsia ini.

Pada kali ini, Martin membuat transformasi dirinya kepada identiti Lincoln Dittmann, seorang yang mempunyai kelemahan iaitu gagap. Martin ditugaskan untuk menyertai dan mengintip Citizen’s Army of Virginia satu pertubuhan haram yang menentang kerajaan melalui keganasan dan menimbulkan kekacauan. Organisasi ini merancang untuk melakukan letupan bom di beberapa tempat awam. Martin menyusup ke dalam organisasi ini dan membantu FBI mematahkan rancangan mereka serta menangkap ketuanya. Pada masa yang sama Martin ditemui oleh seorang lelaki yang menyerahkan satu buku nota yang mungkin mempunyai jawapan kepada masalah peribadinya.

Dalam episod berikutnya Martin terlibat dalam menyiasat penculikan seorang guru sekolah Richard Hubbard dan keluarganya. Guru ini sebenarnya ialah seorang ahli kimia dari Russia bernama Alexander Levensky. Beliau merupakan ahli kimia yang telah membina senjata kimia iaitu gas urat saraf VX untuk angkatan tentera Rusia. Beliau telah mendedahkan rahsia ini kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan sebagai balasan beliau telah dibenarkan tinggal di negara itu dengan identiti baru. Kini seorang bekas pegawai atasannya dari Russia yang berpangkat Kolonel Yuri Medyev telah datang ke AS dan telah menculik Richard dan keluarganya. Kolonel ini telah menggunakan isteri dan anak perempuan Richard sebagai tebusan dan memaksa beliau supaya membina senjata kimia untuk dijual dalam perdagangan haram.

Seterusnya Martin mengambil identiti Dante Auerbach seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam perdagangan senjata haram di peringkat antarabangsa. Beliau mengambil peranan ini untuk mengenalpasti saluran perjualan gas urat saraf VX dan sekaligus menyelamatkan Richard Hubbard. Beliau berjaya menghubungi seorang wanita, Ana Paulanos, iaitu orang kanan seorang yang digelar ‘The Colonel’. Penama ini ialah Yuri Medyev seorang ahli kongsi gelap Chechen. Melalui Ana, Martin berjaya memujuk ‘The Colonel’ supaya percaya pada beliau.

Seterusnya Martin berjaya menangkap ‘The Colonel’ dan Ana Paulanos. ‘The Colonel’ menggugut supaya beliau dan Ana dibayar seperti dijanjikan oleh Martin terdahulu dan dibenarkan keluar dari Amerika Syarikat. Sekiranya FBI tidak mengikut kehendaknya, kuncu-kuncunya akan melepaskan gas urat saraf VS di tempat awam secara berperingkat. Sementara itu, seorang kuncu ‘The Colonel’ melepaskan gas urat saraf VX menyebabkan 16 orang meninggal dunia.

FBI terpaksa berpura-pura bersetuju dengan permintaan ‘The Colonel’ dan memindahkan jumlah wang seperti dijanji kepada satu akaun khas. Seterusnya FBI dan Martin mengiringi ‘The Colonel’ dan Ana ke bank untuk mendapatkan baki simpanan gas VX yang disimpan dalam peti ‘safe deposit’ di bank tersebut.

Apabila sampai di bank, ‘The Colonel’ cuba melarikan diri. Dalam pertempuran dan tembak-menembak yang berikutan, ‘The Colonel’ serta Ana terkorban dan peti yang mengandungi gas VX dapat diselamatkan.

Dalam pada itu Martin diberi cuti rehat bagi menenangkan fikiran selepas penglibatannya dalam beberapa operasi berturut-turut. Beliau menggunakan masa itu untuk menjalankan penyiasatan sendiri secara sulit untuk menyelesaikan misteri mengenai identiti dan latar belakang beliau yang sebenarnya. Untuk tujuan tersebut beliau mula membuat risikan dengan maklumat yang telah ditinggalkan oleh McCombs sebelum beliau mati dibunuh.

Beliau berjumpa dengan seorang bernama Dennis Evans. Mengikut Dennis Evans, Martin dan McCombs bersama-sama Evans sendiri telah bertugas di Iraq pada tahun 2004. Sesuatu peristiwa telah berlaku semasa di Iraq yang menyebabkan mereka kini diburu dan dibunuh satu persatu oleh kumpulan tertentu. Berdasarkan maklumat dari Evans, Martin bertolak ke Houston, Texas untuk bertemu dengan seorang bernama Kyle Dobson. Sementara itu, Agen Kristal dan Agen Rise dari FBI mendapati Dennis Evans juga telah dibunuh secara kejam.

Konflik berlaku bila Martin dapat menangkap Kyle Dobson di Houston, Texas di mana beliau sedang bekerja untuk satu syarikat bernama Verax Corporation. Dari bukti yang terdapat di tempat kerja Kyle, Martin mensyaki bahawa mereka terlibat dengan aktiviti haram berkaitan dengan senjata api. Kyle tidak mahu berbincang atau mendedahkan sebarang maklumat mengenai tindak-tanduk mereka di Iraq. Pekerja-pekerja Verax Corporation juga menyerang Martin dan cuba membebaskan Kyle.

Dalam pertempuran yang berlaku, Martin telah menembak mati beberapa orang. Kemudian beliau melarikan Kyle dari tapak itu bagi meneruskan siasatan beliau. Akhirnya pasukan FBI dari Los Angeles termasuk Gates, Kristal dan Rise telah pergi ke Houston dan membantu Martin membawa Kyle ke Los Angeles.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Komen via Facebook

Komen

Yang Menarik Tentang Drama Bersiri ISTERIKU ‘MEM’ BESAR

7 bulan lebih awal dari siaran TV
tonton 15 Januari 2018, Isnin, 12.00tgh hari
Durasi 20 episod x 1 jam
Tontonan kesemua episod sekaligus (tonton First)

RAIKAN 2018 DENGAN TONTONAN TERUS-MENERUS SIRI KOMEDI

Siapa sangka kisah rumahtangga si “gadis kota” boleh menghiburkan dan mencuit hati?

Isteriku ‘Mem’ Besar

Tanyalah kepada pasangan yang sudah berkahwin, ramai yang memilih untuk berdiam diri tanpa komen. Isteriku ‘Mem’ Besar, yang bersiaran di tonton First bermula 15 Januari ini mengisahkan kehidupan keluarga yang berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah dari gaya hidup bandar ke luar bandar; disokong unsur humor dan pengajaran mengenai hubungan kekeluargaan.

Bergelak ketawa bersama Siri Baharu tonton First

Merungkai kisah perkahwinan kompleks dengan humor yang berterusan, pencinta drama Melayu serta pelanggan tonton kini boleh menikmati kesemua 20 episod secara serentak 7 bulan lebih awal dari siaran di TV3. Cemburu?

“Perkahwinan yang tiada toleransi antara si isteri dan suami”

Siri komedi ini mengisahkan tentang Azizi dan Maziah, pasangan yang telah lama berkahwin namun hubungan mereka menjadi dingin disebabkan perbezaan persepektif. Azizi yang penat bekerja di kota besar mahu pulang ke kampung dan bersara dengan aman bersama keluarga.

Manakala keluarganya, yang diketuai si isteri Maziah tidak bersetuju dengan alasan gaya hidup mereka yang elegan kurang sesuai untuk kehidupan kampung. Azizi cuba mencari ketenangan namun terpalit dengan beberapa aksi lucu dalam mengekalkan hubungan bersama isteri dan keluarganya.

“Kehidupan kota yang bergemerlapan, kehidupan desa yang mendamaikan ”

Bergelak-ketawa dengan aksi lakonan oleh Amyza Aznan, Arash Mohd, Mawar Rashid, Amirul Faqeem, Isqandar Syahidan, Azhar Osman, Hasnah serta Sharissa Haris.

“Tema perkahwinan kontroversi sebelum ini tidak pernah diolah dalam bentuk komedi dan kelakar seperti Isteriku ‘Mem’ Besar. Menyelami kemahuan pelanggan tonton yang pelbagai, kami amat berbesar hati menampilkan Isteri ‘Mem’ Besar 7 bulan lebih awal dari siaran TV, eksklusif di tonton.

Airin Zainul, Pengarah tonton, Perlesenan & Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad

“2018 adalah tahun terbaik buat tonton terus menyinar berdasarkan rekod cemerlang sebagai pembekal servis penstriman ‘Over the Top’ (OTT) nombor 1 di Malaysia yang menampilkan kandungan premium dan pastinya, angka langganan dijangka terus meningkat dengan sambutan berterusan daripada anda.”

Isteriku ‘Mem’ Besar

Tajuk Isteriku ‘Mem’ Besar
Siaran tonton 15 January 2018 / Setiap Isnin, 12.00 tgh hari
Isi Kandungan Unik Tayangan kesemua episod 7 bulan sebelum siaran di TV3
Durasi 60 minit / 1 jam
Episod 20 episod
Produksi A-Ten Alliance Sdn Bhd
Pengarah Dato Ahmad Tamimi Siregar
Penulis Skrip Mufid Suhaimi
Pelakon Amyza Aznan sebagai Jah
Arash Mohd sebagai Azizi
Mawar Rashid sebagai Melisa
Amirul Faqeem sebagai Zain
Isqandar Syahidan sebagai Afiq
Azhar Osman sebagai Iqram
Hasnah sebagai Mak Jah
Sharissa Haris sebagai Niesa

Isteriku ‘Mem’ Besar

Kini, pengguna tonton di Malaysia boleh menikmati 90 peratus kandungan premium tonton secara PERCUMA. Dengan salah satu arkib hiburan terbesar di Malaysia disediakan secara PERCUMA yang terdiri daripada berita harian, sukan, hiburan, kandungan premium dan klasik keemasan tonton, ini pastinya akan meningkatkan lagi pengalaman penonton menontont untuk berkembang maju di negara ini.

Teruskan melanggan pakej VIP tonton di Malaysia yang menawarkan program langsung, saluran premium dan arkib video lebih daripada 30,000 jam ditambah dengan pengalaman bebas iklan video.

Pelan langganan VIP bermula dari serendah RM3 setiap hari, RM5 mingguan, RM10 bulanan dan RM96 setiap tahun.

Untuk maklumat lanjut, layari www.tonton.com.my. Ikuti kami melalui platform media sosial kami:
Facebook: tontonMY
Twitter: tontonMY
Instagram: tontonMY
Hashtag kami di #tontonMY #tontonMacamVIP

Ada soalan? Ping kami di perkhidmatan sembang LIVE kami atau hubungi kami di 03-2717 2020!

tonton turut memperkenalkan xtra – portal berita hiburan dan gaya hidup; melengkapkan lagi pengalaman tontonan secara atas talian. Xtra merangkumi perkembangan hiburan semasa, kontroversi, kisah viral, serta gaya hidup dari lensa ‘milenial’. Xtra adalah satu-satunya portal di Malaysia yang menampilkan siaran LIVE TV secara PERCUMA. Ketahui segala yang kontroversi di sebalik tabir, terkini dan sensasi dari seluruh negara di xtra, portal teras Rangkaian TV Media Prima.
Layari www.xtra.com.my untuk maklumat lanjut!

Isteriku ‘Mem’ Besar

Isteriku ‘Mem’ Besar

Isteriku ‘Mem’ Besar

Isteriku ‘Mem’ Besar

Isteriku ‘Mem’ Besar

Komen via Facebook

Komen